PETALING JAYA – Hasrat seorang remaja lelaki berstatus mild autism untuk menjamu 12 rakan sekelas bertukar pilu apabila hanya empat orang sahaja yang hadir ke rumahnya.
Menerusi satu hantaran di laman Threads oleh @Elineillyn, wanita itu berkongsi anaknya, Mikaiel Muqhriz, bersungguh-sungguh meminta dia memasak pelbagai juadah sejak dua hari lalu semata-mata untuk menjamu rakan-rakan.
Menurutnya, Mikaiel yang belajar di aliran perdana tetap memaafkan rakan-rakannya walaupun perkara sama sering berulang.
“Anak mild autism saya minta saya masak sedap-sedap sebab nak jemput 12 orang kawan sekelas. Namun yang hadir cuma empat orang.
“Perkara seperti ini kerap berlaku, tetapi Mikaiel tetap memaafkan rakan-rakannya,” katanya.
Tambahnya, remaja itu cuba menghabiskan makanan yang disediakan kerana bimbang ibunya marah melihat banyak lebihan.
“Dia bersungguh-sungguh menghabiskan makanan kerana takut saya marah melihat masih banyak baki,” ujarnya.
Perkongsian itu meraih perhatian ramai apabila rata-rata netizen meluahkan simpati selain menawarkan diri untuk berkawan dengan Mikaiel.
Seorang pengguna, @Arif.autisticgraphicdesigner berkata, dia juga merupakan individu dalam spektrum autisme dan bersedia untuk berkawan dengan Mikaiel.
“Jika ada peluang pada masa akan datang, Mikaiel boleh menjemput saya. Saya juga seorang autistik dan didiagnosis pada tahun 2004 ketika berusia 18 tahun,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Qatrunnada_zabidi mencadangkan agar menjemput para netizen di laman Threads untuk turut hadir bagi memeriahkan suasana.
“Pada masa akan datang, maklumkan kepada warga Threads untuk kami hadir. Ada situasi sebelum ini, apabila dimaklumkan tiada tetamu hadir, ramai yang tampil datang berkunjung dan akhirnya dapat berkenalan,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna @Deng_theo menasihati agar tidak terlalu berharap kepada semua jemputan, sebaliknya menghargai mereka yang hadir.
“Anak perlu diajar untuk tidak mengharapkan semua jemputan akan hadir kerana setiap individu mempunyai keutamaan masing-masing. Hargailah mereka yang datang dan terus berasa gembira,” katanya.
Menjawab komen tersebut, @Elineillyn memaklumkan anaknya tidak terlalu terkesan, namun sedih melihat usaha ibunya memasak dalam jumlah banyak.
“Mikaiel menghargai empat rakan yang hadir. Dia hanya berasa sedih kerana melihat ibunya menyediakan makanan dalam kuantiti yang banyak,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














