fbpx
Keratan Kosmo! Online berkenaan poster yang meperlihatkan Jata Negara yang dijana menggunakan AI di salah sebuah stesen minyak di Chow Kit.

Jata Negara dijana AI, KPDN akui stesen minyak tersilap cetak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakui berlaku kesilapan cetakan melibatkan paparan Jata Negara pada poster Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Minyak RON95) yang tular di media sosial.

KPDN dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, kesilapan itu dikesan pada beberapa poster yang dipamerkan di stesen minyak tertentu.

“Dimaklumkan terdapat kesilapan cetakan di stesen-stesen minyak tertentu. Tindakan segera telah diambil bagi memastikan hanya cetakan poster yang menepati standard digunakan di semua stesen minyak,” katanya.

Isu tersebut sebelum ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen selepas imej jata negara pada poster berkenaan dilihat tidak tepat dan menyimpang daripada reka bentuk rasmi.

KPDN turut memberi jaminan bahawa langkah pembetulan telah dilaksanakan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

“KPDN akan memastikan agar perkara seperti ini tidak berulang pada masa hadapan,” jelasnya.

Terdahulu, tular gambar notis berkaitan kawalan bekalan petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Chow Kit yang memaparkan jata negara dalam keadaan mencurigakan disebabkan penggunaan AI dalam menjana poster hebahan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN