PETALING JAYA – Jabatan Penjara sedang meneliti kesahihan serta sumbar asal rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) tular yang memaparkan seorang tahanan reman dipercayai lolos di pekarangan Penjara Sungai Buloh.
Menurut Jabatan Penjara Malaysia, pihaknya sedang meneliti kesahihan serta sumber asal rakaman video CCTV tersebut.
“Jabatan Penjara ingin menegaskan bahawa aspek keselamatan institusi pemulihan sentiasa menjadi keutamaan.
“Sebarang kelemahan yang dikenal pasti akan ditambah baik serta tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai atau melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya hari ini.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta ketenteraman awam.
Dalam video tular itu, seorang lelaki warga Pakistan dilihat melarikan diri ketika proses serahan tahanan dari pihak polis.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.51 petang berdasarkan waktu tertera pada rakaman CCTV berkenaan.
Pada 9 April lalu, Kosmo! melaporkan polis giat memburu seorang tahanan warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, Suspek dipercayai masih berada dalam negara ketika ini, dengan operasi mengesannya terus dipergiatkan pihak berkuasa.
Suspek dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren dan berseluar panjang hitam.
Difahamkan, lelaki terbabit menghadapi beberapa pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan serta kesalahan berkaitan imigresen. – KOSMO! ONLINE














