GEORGE TOWN – Dua mangsa dilaporkan terperangkap dalam kebakaran di sebuah pejabat guaman di Lebuh King di sini, sebentar tadi.
Bagaimanapun, status kedua-dua mangsa terlibat belum dapat dipastikan ketika ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran berlaku pada pukul 12.14 tengah hari tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai dan BBP Jalan Perak.
“Kebakaran melibatkan sebuah unit rumah kedai dua tingkat (kelas A) yang dijadikan pejabat guaman dengan anggaran peratusan kemusnahan semasa akibat kebakaran adalah sebanyak 70 peratus.
“Maklumat awal terdapat dua mangsa yang terperangkap dilaporkan terlibat. Kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan di lokasi kejadian ketika ini,” katanya di sini, sebentar tadi.
Maklumat lanjut berhubung kejadian berlaku termasuk status mangsa terlibat akan dikemaskini sebentar nanti -KOSMO! ONLINE














