fbpx
Muhyiddin ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh M.FIRDAUS M.JOHARI/KOSMO!

Bicara kes hasutan Muhyiddin mula November ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan enam hari perbicaraan bermula November ini kes hasutan bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Gua Musang dua tahun lalu.

Tarikh-tarikh itu ialah 3,4,5,11,12 dan 13 November ini yang mana perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.

Sementara itu peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin dan mengesahkan tarikh-tarikh itu memaklumkan pasukan pembelaan memohon tarikh perbicaraan selepas September.

Ia bagi membolehkan kes Jana Wibawa melibatkan anak guamnya di mahkamah berlainan didengar terlebih dahulu.

Menurut beliau, perbicaraan kes Jana Wibawa kini berlangsung di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin dan dijadual selesai selepas September.

“Mohon pendakwaan menyerahkan senarai saksi dan pernyataan bertulis untuk kegunaan perbicaraan kelak,” ujarnya.

Semasa prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd. Saad dan Nadia Mohd. Izhar.

Pada 4 Februari tahun lalu, Muhyiddin, 78, mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undang Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti FELDA Perasu, antara pukul 10.30 hingga 11.50 malam pada 14 Ogos 2024.

Ia berkait dakwaan bahawa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen.

Muhyiddin yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan pada awalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan permohonan pihak pembelaan.

Pada 28 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Muhyiddin untuk merujuk empat persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes hasutan Muhyiddin ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mempengerusikan panel lima hakim, berkata pihak pembelaan tidak dihalang daripada membangkitkan empat persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan semasa perbicaraan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN