KUALA LUMPUR – Seorang pegawai bank memaklumkan parti Bersatu menerima wang berjumlah RM800,000 daripada sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan melalui empat keping cek pada hari yang sama, empat tahun lalu.
Pegawai Operasi Maybank Shah Alam, Chang Hui Chin, 50, memaklumkan empat keping cek yang masing-masing bertarikh 1 September 2022 dikeluarkan oleh KCJ Engineering Sdn. Bhd. (KCJ Engineering).
Saksi pendakwaan keenam berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan hari keempat kes guna kedudukan untuk suapan dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Projek Jana Wibawa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin dan Mahadi Jumaat.
Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga buah syarikat serta seorang individu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung 14 April. – KOSMO! ONLINE














