fbpx
Shazeli menunjukkan antara peralatan yang dirampas daripada enam sindiket scammer di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

6 sindiket scammer tumpas, tahan 38 individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kegiatan enam sindiket penipuan yang berpangkalan sekitar Lembah Klang tumpas selepas diserbu polis, minggu lalu.

Serbuan sekitar Kajang, Semenyih, Petaling Jaya dan Seri Kembangan antara 7 hingga 9 April lalu berjaya menahan 38 individu termasuk tiga warga tempatan berusia 19 hingga 50 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kesemua sindiket ini menjalankan penipuan dalam bentuk love scam, judi dalam talian, tawaran kerja dan penipuan pelaburan antara Oktober tahun lalu hingga bulan lalu.

Katanya, sasaran mangsa pula melibatkan warga China, Jepun, Indonesia dan Singapura.

“Ada antara sindiket menawarkan penjualan akaun WeChat dan i-Cloud melalui platform Telegram dan dijual kepada sindiket penipuan pasaran China.

“Rata-rata ahli sindiket ini berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dan operator.

“Dua daripada tiga warga tempatan ditahan pula bertugas sebagai tukang masak dan pemandu kepada sindiket ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah mencari mangsa menerusi aplikasi media sosial seperti WeChat, Potato dan WhatApps.

“Selain itu, menggunakan aplikasi Line dan Telegram untuk mencipta akaun palsu menggunakan identiti rekaan dengan membuat iklan tawaran kerja sambilan secara harian bagi menarik perhatian mangsa.

“Mangsa yang berminat akan dihubungi dan diminta memberikan maklumat peribadi seperti nombor telefon dan media sosial serta menggunakan rangkaian internet tempatan,” jelasnya.

Tambahnya, semakan mendapati 35 warga asing tersebut memasuki negara ini secara sah sejak awal tahun menggunakan pas lawatan sosial dengan semakan silang akan dilakukan Jabatan Imigresen bagi mengesahkan dokumen mereka.

Shazeli menegaskan, melalui serbuan itu telah merampas pelbagai peralatan digunakan sindiket bernilai RM138,000.

“Kesemua suspek direman antara empat hingga tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN