fbpx
Tze Tzin hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri bersama-sama anjuran Persatuan Teksi Limosin LATPP di Pavillon Limo Airport, Bayan Lepas malam tadi.

Subsidi RON95: Pendapatan pemandu teksi limo terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin komited membawa permasalahan berkaitan cabaran yang dihadapi pemandu teksi limo di negeri ini kepada kementerian terutama membabitkan isu subsidi petrol RON95 dan saingan perkhidmatan e-hailing.

Beliau yang merangkap Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, isu tersebut perlu diselesaikan dalam kadar segera demi kelangsungan hidup pihak terbabit dalam menempuh cabaran yang mendatang.

“Malam tadi saya dijemput hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Persatuan Teksi Limosin Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LATPP) dan di situ mereka ada memberi pandangan dan rungutan tentang cabaran yang dihadapi ketika ini.

“Antara perkara paling terkesan adalah melibatkan isu subsidi petrol RON95 dan saingan antara perkhidmatan e-hailing sehingga menjejaskan pendapatan mereka (pemandu limosin). Saya ambil maklum mesej tersebut dan akan bawa isu tersebut kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MOF) dalam kadar segera,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri bersama-sama anjuran Persatuan Teksi Limosin LATPP di Pavillon Limo Airport, Bayan Lepas di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tapak Pavillion berkenaan akan dipindahkan ke satu lokasi berhampiran nanti bagi memberi laluan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Pada Mac lalu, Tze Tzin dalam lawatannya ke LATPP dilaporkan berkata, lokasi berkenaan akan menjadi lapangan terbang pertama di negara ini yang menggunakan teknologi ‘Remote Digital Virtual Tower’ (RDVT) bermula pertengahan bulan April.

Jelasnya, RDVT merupakan sebahagian daripada rancangan projek pembesaran LTAPP di bawah Pakej Kerja Pertama (WP1) yang dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini dengan peruntukan berjumlah lebih RM107 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN