KUALA LUMPUR – Aktiviti perniagaan makanan sejuk beku tidak sah berjaya dibongkarkan pihak berkuasa dalam operasi bersepadu di tiga buah premis sekitar Johor Bahru, Johor membabitkan rampasan bernilai lebih RM168,000 semalam.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan dan Siasatan Khas Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Veterinar, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor turut menahan sembilan lelaki.
“Pelbagai barangan sejuk beku dirampas termasuk 2,630.64 kilogram (kg) karkas babi, 148.92kg daging itik, 35kg daging lembu dan 3,888kg daging ayam. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM168,758.46,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, antara kesalahan dikesan adalah memiliki serta mengimport karkas babi dari negara yang tidak dibenarkan, termasuk bekalan dari Sepanyol walaupun diharamkan sejak 1 Disember lalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Binatang 1953. Dalam operasi sama, pihak MBJB turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap premis terlibat.
Mohd. Zaki menegaskan, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras sindiket penyeludupan, pengedaran dan penjualan makanan sejuk beku tidak sah. – KOSMO! ONLINE














