fbpx
SELANGOR kembali menjuarai Piala Emas Khir Johari.

Selangor rampas semula takhta Piala Emas Khir Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penantian 15 tahun Selangor untuk menamatkan kemarau panjang akhir terlerai selepas kembali menjulang kejuaraan Piala Emas Khir Johari sejurus menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 di pentas final, hari ini.

Kemenangan penuh bergaya di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kompleks Sukan Jalan Raja Muda itu menyaksikan skuad ‘Merah Kuning’ merampas semula trofi berprestij berkenaan yang kali terakhir dimenangi mereka pada edisi 2011 di Kuching, Sarawak.

Tampil dengan corak permainan agresif, Selangor langkah kanan menerusi kemenangan regu pertama, 15-12, 11-15, 15-13, sebelum regu kedua mengesahkan kejayaan dengan keputusan 15-13, 15-9.

Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan status Selangor sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah penganjuran kejohanan sepak takraw negara itu.

Kapten Selangor, Farhan Adam mengakui kejayaan kali ini sangat istimewa memandangkan mereka turun sebagai pasukan bukan pilihan selain perlu melalui aksi mencabar sepanjang kejohanan.

“Kali terakhir Selangor menang 2011, waktu itu saya main juga. Untuk final hari ini, semua pemain beri 100 peratus dan kami dah buktikan Selangor adalah pasukan kuat untuk Piala Emas ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Farhan, walaupun semua pasukan hadir dengan impian untuk muncul juara, Selangor lebih fokus kepada strategi dan komitmen dalam setiap perlawanan.

Mengulas cabaran edisi kali ini, Farhan mengakui Selangor tidak diletakkan sebagai pilihan utama berbanding pasukan lain.

“Kami main sebagai satu pasukan dan semua pemain jalankan tugas masing-masing dan Alhamdulillah semuanya menjadi, itu yang menjadi kunci kejayaan Selangor hari ini,” tambahnya.

Kejayaan kali ini juga cukup istimewa buat Farhan apabila ia menjadi gelaran ketiganya dalam Piala Emas selain pernah muncul juara bersama Selangor pada 2011 dan Johor sebelum ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN