LONDON – Polis London menahan lebih 500 penunjuk perasaan pro-Palestin dalam satu demonstrasi yang menyokong kumpulan terlarang, Palestine Action semalam.
Anggota-anggota polis mengangkat aktivis pergi sambil diiringi sorakan dan tepukan oleh penunjuk perasaan lain yang berhimpun di Dataran Trafalgar, London.
Mereka membawa sepanduk menyokong kumpulan diharamkan kerajaan, Palestine Action.
Polis Metropolitan London berkata di platform X bahawa pihaknya menahan seramai 523 orang berusia antara 18 hingga 87 tahun.
Palestine Action diisytiharkan organisasi pengganas pada Julai 2025, menjadikannya kesalahan jenayah untuk menyertai atau menyokong kumpulan itu. Mereka yang didapati bersalah pula boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun.
Mahkamah Tinggi London bagaimanapun mengekalkan cabaran terhadap larangan itu pada pertengahan Februari lalu dengan hujah ia menggugat hak kebebasan bersuara.
Kerajaan pula diberikan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan tersebut.
“Sangat penting untuk terus hadir. Adalah penting untuk kita semua terus menentang genosid. Kerajaan mungkin berdolak-dalih dalam hujah mereka tetapi moral orang-orang (di sini) tidak berubah,” kata penunjuk perasaan dikenali sebagai Freya, 28.
Polis membuat hampir 3,000 tangkapan sejak larangan ke atas Palestine Action dikuatkuasakan, terutamanya kerana kesalahan membawa sepanduk mempertahankan pertubuhan tersebut. – AFP














