GERIK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan semua instrumen perundangan bagi menjalankan siasatan terhadap individu yang terlibat dalam dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’, termasuk mereka yang berada di luar negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses siasatan kes berkenaan berjalan lancar, dengan pihak polis mengambil keterangan daripada mana-mana individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Katanya, siasatan kes tersebut dijalankan secara terperinci merangkumi elemen jenayah dan penggubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“Jika pihak polis mahu mengambil kenyataan individu terbabit dan dia berada di luar negara, maka kita akan panggil. Semua proses untuk kita bawa pulang mereka, kita akan gunakan. Sebab dalam proses polis membuat kerja, kita ada pelbagai kaedah dan cara. Apa yang paling penting adalah polis telah pun memulakan siasatan kes berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan Lawatan Kerja dan Pemantauan Operasi Kawalan Sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu, di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, beliau sentiasa diberikan taklimat dari semasa ke semasa berhubung perkembangan kes berkenaan dan menegaskan tiada sebab untuk mana-mana pihak meragui siasatan yang dijalankan.
“Tiada sebab untuk mencurigai kompetensi pihak polis dalam mengesan atau menggunakan semua instrumen perundangan yang ada bagi membolehkan mana-mana individu yang dikehendaki dipanggil bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Pada 1 April lalu, Ketua Pasukan Siasatan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Fazlisyam Abdul Majid berkata, seramai 41 individu dipanggil bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.
Mereka dipanggil adalah termasuk Victor Chin dan sembilan individu yang ditahan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE














