KUALA LANGAT – Seorang lelaki yang tular mengamuk dengan turut melibas senjata ke arah anggota polis di sebuah restoran di Telok Mengkuang di sini, disambung reman sehingga esok.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, reman pertama selama empat hari ke atas suspek berusia 30-an itu tamat hari ini.
“Reman itu bagaimanapun dilanjutkan sehari lagi sehingga Isnin (esok) bagi membantu siasatan.
“Suspek kini masih berada dalam tahanan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya petang ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 353 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Kosmo sebelum ini melaporkan tular beberapa video memaparkan seorang lelaki mengamuk sambil membawa pisau pemotong daging di sebuah restoran makanan laut di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang, Rabu lalu.
Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu memaparkan suspek bertindak agresif sambil memegang pisau tersebut dan berlari mengejar seorang anggota polis selain turut memecahkan lampu beacon kereta peronda polis dan merosakkan tiga kenderaan milik orang awam. – KOSMO! ONLINE














