KUALA LUMPUR – Sebanyak 251 kes penipuan cinta atau ‘love scam’ direkodkan dengan jumlah kerugian mencecah RM6.66 juta bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, peningkatan kes itu menunjukkan taktik penipuan berunsur emosi masih menjadi ancaman serius kepada masyarakat.
Menurutnya, penipu kebiasaannya menggunakan kata-kata manis dan manipulasi emosi bagi memperdaya mangsa sebelum meminta wang atas pelbagai alasan.
“Antara taktik sering digunakan termasuk alasan kecemasan seperti sakit, masalah kastam atau kos perjalanan bagi memujuk mangsa memindahkan wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai individu yang dikenali secara dalam talian, selain sentiasa berwaspada dengan akaun mencurigakan.
Katanya, orang ramai digalakkan membuat semakan gambar profil menggunakan kaedah ‘reverse image search’ bagi mengenal pasti sama ada gambar tersebut digunakan di pelbagai akaun lain.
“Penipu juga lazimnya mengelak untuk membuat panggilan video dan sering memberikan alasan tidak munasabah bagi mengelak identiti sebenar terbongkar,” ujarnya.
Tambah beliau, masyarakat juga diingatkan supaya tidak menghantar wang kepada individu yang tidak dikenali walau apa jua alasan diberikan.
“Jangan mudah terpedaya dengan cerita sedih, ugutan atau situasi dramatik yang sengaja direka bagi memanipulasi emosi mangsa,” katanya.
Rusdi berkata, orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon atau akaun bank mencurigakan melalui platform Semak Mule PDRM serta mendapatkan nasihat pihak berkuasa.
Selain itu, beliau menegaskan kepentingan menjaga maklumat peribadi termasuk nombor kad pengenalan, alamat dan gambar peribadi bagi mengelakkan penyalahgunaan. – KOSMO! ONLINE














