KUALA PILAH – Kertas siasatan berhubung kes penemuan mayat bayi di kawasan pencawang telekom berhampiran Masjid Rembang Panas, di sini, pada petang 27 Mac lalu hampir siap dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, suspek iaitu seorang wanita berusia 30-an telah berjaya ditangkap pada 29 Mac dan kini sudah dibebaskan dengan jaminan polis untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya selepas bersalin.
“Siasatan hampir selesai dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk mendapatkan arahan tuduh. Suspek yang tidak bekerja sudah ditangkap di kampung yang sama juga,” katanya, di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan penemuan mayat bayi berkenaan menerusi laporan orang awam kira-kira pukul 6.30 petang semalam dan hasil pemeriksaan awal mendapati mayat tersebut adalah seorang bayi lelaki dalam keadaan cukup sifat dan masih bertali pusat.
Pemeriksaan lanjut mendapati mayat telah meninggal dunia dianggarkan lebih kurang dua hari dan telah mula mengalami proses reput. – KOSMO! ONLINE














