PETALING JAYA – Tindakan dua penumpang wanita meletakkan beg atas kerusi dan tidak membenarkan penumpang lain duduk dalam tren Transit Alirean Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya baru-baru ini mengundang kecaman orang ramai di media sosial.
Menerusi hantaran M.Aimnhziq di Threads, terdapat seorang warga emas memberi isyarat untuk duduk, namun permintaannya diabaikan.
“Ada seorang mak cik siap buat isyarat nak duduk, tapi dua wanita tersebut buat tak tahu je. Siap gelak-gelak lagi,” katanya.
Menurut individu tersebut, penumpang yang berada dalam pengangkutan awam tersebut menegur perbuatan dua wanita itu, tetapi tetap tidak diendahkan.
“Untuk pengetahuan semua, orang sudah tegur. Dah tunjuk ‘seat’ (tempat duduk) dan orang sekeliling sudah buat muka tetapi mereka tetap tak kisah. Mak cik tadi sudahnya duduk sebaris ‘seat’ aku sebab ramai dah turun di stesen seterusnya termasuk aku,” tambahnya.
Lebih mengecewakan, mereka dilihat selamba bergelak ketawa dan menggunakan telefon bimbit tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.
Rata-rata pengguna turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap dua wanita tersebut yang disifatkan yang tidak bertimbang rasa terhadap penumpang lain.
“Dah tahu tren penuh pergi letak beg. Kau bayar asing ke letak beg di tempat duduk?,” soal Lia.Ashi.
“Pernah naik LRT ada lelaki tak nak turunkan beg dia. Kemudian ada orang lain masuk dalam tren, tak cakap apa-apa terus ambil beg dan campak tepi,” kongsi S.reen17. – KOSMO! ONLINE













