PETALING JAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan dakwaan keberadaan pegawainya dalam sebuah video yang tular di media sosial baru-baru ini.
JKM dalam satu kenyataan berkata, individu dirujuk dalam video berkenaan bukan merupakan pegawai JKM dan jabatan itu tidak terlibat dalam sebarang tindakan seperti yang digambarkan.
“Untuk makluman, setiap pegawai JKM yang menjalankan siasatan adalah tertakluk kepada tatacara kerja semasa termasuk memperkenalkan diri, menunjukkan kad kuasa atau pengenalan rasmi serta menjalankan siasatan secara profesional dan beretika.
“JKM memandang serius penyebaran maklumat yang tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan reputasi jabatan,” katanya dalam satu kenyataan.
JKM berkata, kerjasama orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih amat dihargai bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat terus terpelihara.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan bekas suami seorang selebriti bersama keluarga dipercayai ibu bapa mentua hadir ke kediaman individu tersebut untuk mengambil anaknya.
Lelaki tersebut dikatakan datang ke rumah selebriti berkenaan bersama anggota polis dan seorang wanita yang dikatakan merupakan pegawai JKM. – KOSMO! ONLINE














