PETALING JAYA – Pemuzik tersohor Britain, Yusuf Islam atau dulunya dikenali sebagai Cat Stevens menyantuni jemputan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan di pejabatnya baru-baru ini.
Perjumpaan tersebut turut membincangkan antara dua figura itu melibatkan potensi kerjasama memperkasa dakwah, khususnya mendekati anak muda melalui pendekatan seni Islam yang menyentuh jiwa dan merentas budaya.
Turut hadir ke pejabat Menteri Agama termasuklah bekas anggota kumpulan nasyid tersohor negara Raihan iaitu Nazrey Johani yang kini menderu dengan kumpulan bernama A.N.A The Rayhan (Afad, Nazrey Johani & Amran Ibrahim).
“Mendengar gabungan vokal Yusuf dan Nazrey menyanyikan lagu God Is The Light dan Puji-Pujian, terimbau kenangan indah zaman kegemilangan Raihan.
“Nazrey turut berkongsi kisah bagaimana kumpulan Raihan diundang untuk merakam lagu di studio Yusuf di London pada 1997,” coretnya menerusi satu hantaran Facebook.
Detik indah tersebut menyaksikan Nazrey bersama Allahyarham Zairey, Amrand, Che Amran dan Abu Bakar menghasilkan gandingan hebat yang malar segar sehingga kini.
“Bila seni dan dakwah bergabung, mesej sampai lebih jauh — terutama ke hati generasi muda, insya-Allah,” tulis Zulkifli lagi. – KOSMO! ONLINE














