MANCHESTER – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menggesa pasukannya meneruskan rekod cemerlang sepanjang April untuk memastikan mereka mampu mencabar Arsenal dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris.
Sepanjang mengemudi kelab itu, Guardiola memiliki rekod cemerlang setiap kali saingan memasuki bulan April apabila meraih 28 kemenangan dalam 31 perlawanan sekali gus mengharapkan pasukannya mampu mengulangi prestasi berkenaan pada musim ini.
Ketika ini, City ketinggalan sembilan mata di belakang Arsenal, namun masih kurang satu perlawanan menyebabkan Guardiola berharap mereka mampu mengekalkan rekod sempurna sepanjang bulan ini untuk mencerahkan peluang mencabar Arsenal.
“Saya berharap kami mampu mendapatkan banyak mata. Situasi sekarang menyaksikan kami perlu melakukan kerja dengan sempurna atau kami perlu melupakan hasrat memburu kejuaraan. Kami memerlukan banyak mata.
“Kami tidak begitu konsisten musim ini, kami kehilangan mata dalam perlawanan yang sepatutnya mampu memberikan kami kemenangan. Inilah punca mengapa kami berada di posisi kedua ketika ini,” katanya.
The Citizens sedang membuat persiapan untuk turun menentang Chelsea di Stamford Bridge malam ini dan berharap mereka mampu meraih kemenangan untuk terus memberikan tekanan kepada Arsenal.
Dua kemenangan sebelum ini ketika menewaskan Arsenal pada aksi final Piala Liga Inggeris dan menyingkirkan Liverpool pada aksi Piala FA menjadi tonik istimewa untuk memacu City memburu satu lagi kemenangan.
Sementara itu, Guardiola mengesahkan bahawa dua pemain pertahanannya, John Stones dan Ruben Dias masih belum dapat disenaraikan pada perlawanan menentang Chelsea biarpun semakin sembuh daripada masalah kecederaan.
Menurutnya, sesi pemulihan kedua-dua pemain tersebut berjalan dengan baik, tetapi mereka belum berada pada tahap kecergasan terbaik untuk membantu pasukan pada perlawanan itu nanti.














