LONDON – Pengurus baharu Tottenham Hotspur, Roberto De Zerbi tidak mahu membandingkan dirinya dengan dua lagi bekas pengendali pasukan sebelum ini, Thomas Franks dan Igor Tudor.
Beliau enggan melabel dirinya lebih baik berbanding Frank dan Tudor sebaliknya fokusnya kini hanya satu untuk menyelamatkan pasukan daripada tersingkir dari Liga Perdana Inggeris musim depan.
“Sekarang saya perlu bekerja dan memastikan pungutan mata sebanyak mungkin buat pasukan. Saya tahu kualiti pemain Spurs yang ada kerana sebahagian besar mereka adalah pemain yang saya mahu miliki bersama kelab-kelab lama sebelum ini.
“Mereka bekerja dengan baik dan saya fikir tiada apa yang lebih daripada apa yang Thomas Frank atau Igor Tudor sudah berikan kerana saya anggap kedua-duanya adalah jurulatih yang bagus. Saya hanya bawa karakter dan semangat saya untuk bantu pemain.
“Lebih utama mereka kena tunjuk kualiti yang mereka ada bagi mencapai sasaran kami. Ini perkara paling penting buat masa sekarang dan ia perlu dilaksanakan,” katanya.
Ketika ini, Spurs sudah terperosok ke zon penyingkiran ekoran kemenangan West Ham United ke atas Wolverhampton awal pagi semalam sekali gus memberikan tekanan tambahan buat De Zerbi dan Spurs.
“Sekarang kami kena saling memberikan dorongan, juga buat penyokong yang berada di stadium. Kontrak saya selama lima tahun, saya mahu pemain gembira untuk bekerja dan sudah pasti saya juga mahu beri pandangan saya pada jendela perpindahan selepas ini,” katanya. AGENSI














