fbpx
Poster yang dimuat naik oleh DBKL di Instagram

Awas ‘ulat foto’ sekitar KLCC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan amaran kepada pengunjung di sekitar ibu negara agar lebih berwaspada dengan kehadiran jurugambar jalanan atau ulat foto tanpa kebenaran.

Tindakan itu diambil susulan pertambahan aktiviti rakaman gambar tidak terkawal yang didakwa mula menimbulkan rasa kurang senang, gangguan fizikal, dan risiko keselamatan kepada orang awam termasuk pelancong.

DBKL berkata, aktiviti tersebut bukan sahaja mencacatkan pengalaman pengunjung, malah boleh mendedahkan mereka kepada risiko penipuan dan ancaman terhadap keselamatan barangan peribadi.

“Walaupun ada yang berhasrat merakam detik indah, realitinya aktiviti tidak terkawal ini boleh menimbulkan gangguan kepada orang awam, malah risiko keselamatan yang tidak wajar berlaku di ruang bandar kita.

“Justeru, setiap lokasi terutamanya kawasan tumpuan pelancong seperti KLCC dan pusat bandar perlu kekal sebagai ruang yang selamat, selesa dan menyenangkan untuk semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL turut memaklumkan, pihaknya sedang menjalankan operasi penguatkuasaan dikenali ‘Op Lens’ bagi menangani isu tersebut secara berperingkat.

Jelasnya, tindakan yang diambil bukan untuk menyekat rezeki mana-mana pihak, sebaliknya langkah penting bagi memastikan setiap sudut ibu kota kekal teratur dan selamat.

“Kita mahukan Kuala Lumpur terus dikenali sebagai bandar yang mesra, harmoni dan berdaya huni. Ini hanya dapat dicapai apabila semua pihak memainkan peranan menghormati peraturan serta menjaga tingkah laku di ruang awam,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen hantaran tersebut mendapati rata-rata warga kota menyokong tindakan tegas itu bagi mengelakkan imej ibu kota terjejas di mata pelancong asing.

Orang ramai yang berkunjung ke kawasan berkenaan dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran jurugambar jalanan yang mencurigakan demi menjaga keselamatan diri serta harta benda.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN