PETALING JAYA – Tindakan sebuah kenderaan menukar haluan secara tiba-tiba dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan enam kenderaan di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran KM5.4 menghala ke Kepong, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian kira-kira pukul 8.43 pagi itu berlaku apabila sebuah kenderaan menukar ke lorong kanan secara mengejut bagi mengelak kenderaan di hadapan yang berhenti secara tiba-tiba.
“Perbuatan itu menyebabkan kenderaan lain tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran berantai membabitkan beberapa kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seorang penunggang motosikal cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.
Beliau berkata, semua pemandu yang terlibat telah dirakam keterangan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Semua telah diambil keterangan dan dalam proses pada hari ini,” katanya.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, Kosmo! melaporkan satu rakaman video tular yang memaparkan nahas tersebut menyebabkan penunggang motosikal terbabit tercampak di atas jalan. – KOSMO! ONLINE














