KOTA KINABALU – Kerajaan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu telah mempersetujui syor untuk menempatkan anggota polis di stesen-stesen minyak sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan bahan api.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah berkenaan adalah sebagai peluasan kepada penempatan secara statik penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Beliau berkata, keputusan itu dibuat untuk memperkasa pemantauan dan penguatkuasaan kerana peningkatan risiko ketirisan bahan api petrol dan diesel akibat daripada krisis tenaga global yang tercetus susulan konflik Asia Barat.
”Sejak 20 Mac 2026, penguat kuasa KPDN telah ditempatkan secara berkala di stesen-stesen minyak di sekitar kawasan sempadan seluruh negara.
”Ia Susulan daripada pembentangan laporan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) didapati wujud keperluan untuk memperluaskan liputan pemantauan statik ke seluruh stesen minyak berhampiran sempadan dan kawasan berisiko tinggi.
”Sehubungan itu, bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperlukan mengambil kira kekangan jumlah jentera penguat kuasa KPDN dan tuntutan keperluan pemantauan lebih terperinci status bekalan dan harga barang-barang di seluruh negara susulan konflik ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) Santuni Komuniti di Dapur Kita-Kita Bersama KPDN di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan memaklumkan fasa pertama bermula 20 Mac hingga 10 April 2026, penempatan secara statik penguat kuasa KPDN telah dilaksana di 87 stesen minyak dan akan disusuli dengan 70 stesen tambahan dalam fasa dua bermula minggu depan yang akan melibatkan anggota polis. – KOSMO! ONLINE














