JOHOR BAHRU – Taktik licik sebuah premis makanan di Taman Megah Ria, Masai, Pasir Gudang di sini yang dipercayai menyeleweng minyak masak peket bersubsidi akhirnya terbongkar dalam satu serbuan, kelmarin.
Serbuan kira-kira pukul 3 petang itu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor dengan kerjasama KPDN Melaka hasil risikan dan maklumat awam.
Pengarah KPDN Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, dalam operasi tersebut, pegawai penguat kuasa berjaya mengesan kegiatan pemilik premis yang dipercayai menggunting peket minyak masak bersubsidi sebelum memindahkannya ke dalam botol untuk kegunaan perniagaan.
Difahamkan, tindakan itu bertujuan mendapatkan bekalan minyak masak pada harga rendah sebelum digunakan dalam operasi memasak di premis berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa peralatan seperti gunting, corong dan botol yang dipercayai digunakan khusus bagi menjalankan kegiatan tersebut.
“Lebih mengejutkan, premis itu juga didapati menyimpan barang kawalan berjadual termasuk 120 kilogram (kg) gula, minyak masak peket (51kg) dan tepung gandum (200kg) tanpa permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Lilis Saslinda berkata, seorang lelaki yang merupakan pengurus premis terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Menurutnya, semua barang kawalan terbabit bersama peralatan yang digunakan telah disita untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melibatkan penyelewengan barang bersubsidi yang dikhaskan untuk kegunaan isi rumah.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Untuk kesalahan berulang, denda boleh mencecah sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta dan meningkat kepada RM5 juta bagi kesalahan seterusnya. – KOSMO! ONLINE














