KUALA TERENGGANU – TNB ThunderStars kembali merampas kejuaraan Piala Sumbangsih selepas menundukkan juara bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT), 5-4 dalam aksi di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Buruk, di sini petang tadi.
THT bermula garang apabila memperoleh gol awal seawal minit ketiga menerusi tolakan mudah Faizal Saari sebelum penyerang kebangsaan itu sekali lagi meledak gol pada dua minit kemudian untuk meletakkan tuan rumah di hadapan dengan 2-0.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila TNB ThunderStars bangkit merapatkan jurang hasil pukulan sudut penalti disempurnakan pemain import Korea Selatan, Jang Jong Hyun.
Seminit sebelum rehat, pemain kebangsaan, Adam Ashraf Mohd Johari yang tidak dikawal bijak melakukan pukulan kilas bagi menyamakan kedudukan 2-2.
Bersambung babak kedua, momentum terus memihak pelawat apabila bekas penyerang THT, Akhimullah Anuar Esook meledak gol ketiga pada minit ke-33 sebelum Jong Hyun sekali lagi mencetak gol keempat TNB menerusi pukulan sudut penalti.
THT tidak mengalah apabila merapatkan kedudukan apabila kapten, Mohd. Fitri Saari menyamakan kedudukan 4-4 pada minit ke-52 menerusi pukulan sudut penalti yang diambil abangnya, Faizal.
Sewaktu aksi seakan berakhir dengan keputusan seri, Jong Hyun sekali lagi muncul wira TNB apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi melengkapkan hatriknya sekali gus menghadiahkan kemenangan dramatik buat pasukannya.
Kemenangan itu amat bermakna buat TNB yang kini dibarisi 16 tonggak The Speedy Tigers selepas kecundang 1-2 dalam pentas sama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada musim lalu. – KOSMO! ONLINE














