fbpx
AKMAL NASRULLAH beramah mesra dengan pelajar cemerlang SPM sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG dan Serahan Cek Cura Naik Taraf Infrastruktur SMK Taman Pelangi ,Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

Malaysia ‘kritikal’ Jun, Julai perlu tindakan intervensi segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Negara dijangka berdepan tempoh kritikal sekitar Jun dan Julai ini susulan ketidaktentuan bekalan diesel akibat konflik di Asia Barat, sekali gus menuntut tindakan intervensi segera kerajaan bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, selain memastikan bekalan diesel kekal mencukupi, kerajaan juga perlu memberi perhatian terhadap jaminan bekalan bahan mentah lain yang menjadi keperluan utama industri.

Menurut beliau, langkah intervensi perlu dilaksanakan dari sekarang bagi mengelakkan berlakunya kekurangan bekalan yang boleh menjejaskan sektor pembuatan dan perkhidmatan.
“Antara kebimbangan yang dibangkitkan adalah kekangan bahan berasaskan petroleum seperti resin yang digunakan dalam penghasilan plastik.

“Sudah ada aduan mengenai gangguan bekalan bahan ini, justeru kita perlu mencari jalan memastikan bekalan mencukupi selain meneroka alternatif lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pelangi di sini hari ini.

Tambah beliau, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk meneroka penggunaan bahan alternatif seperti polimer dalam pembuatan produk tertentu termasuk peranti perubatan.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan bahan baharu itu memerlukan tindakan segera kerajaan termasuk aspek pengiktirafan dan pensijilan bagi memastikan ia selamat serta memenuhi piawaian ditetapkan.

“Langkah ini penting supaya industri tidak terlalu bergantung kepada satu sumber sahaja, sekali gus meningkatkan daya tahan rantaian bekalan negara,” ujarnya.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, kerajaan menjangkakan tekanan terhadap bekalan dan harga akan mula dirasai sekitar pertengahan tahun ini sekiranya tiada langkah awal diambil.

Katanya, kebanyakan barangan termasuk ubat-ubatan dan peranti kesihatan bergantung kepada bahan api sebagai input utama, sekali gus menyebabkan kos pengeluaran meningkat apabila harga tenaga naik.

“Apabila kos input meningkat, ia akan memberi kesan langsung kepada harga barangan di pasaran,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, agensi pelaksana di bawah kementerian berkaitan telah diminta meneliti secara menyeluruh tahap ketersediaan bekalan serta merangka langkah intervensi bagi memastikan rantaian bekalan kekal stabil.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau kenaikan harga ubat-ubatan dan peranti kesihatan susulan krisis tenaga global.

Menurut beliau, harga ubat dilaporkan meningkat antara 30 hingga 40 peratus, manakala beberapa peranti perubatan mencatatkan kenaikan sehingga 100 peratus.

Katanya, peningkatan kos itu telah mula dikesan sebelum Mac lalu apabila terdapat pemain industri yang menangguhkan bekalan, sekali gus menyebabkan harga meningkat lebih awal di pasaran. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN