fbpx
BERGSON membuat rembatan walaupun cuba dihalang oleh pertahanan Terengganu FC pada aksi Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

Liga Super: Terengganu FC ikat JDT 1-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

ISKANDAR PUTERI – Rekod kemenangan 100 peratus Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super akhirnya lebur selepas diikat Terengganu FC 1-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi.

Skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz bagaimanapun masih berpeluang menamatkan musim tanpa kalah dengan tiga baki perlawanan yang akan diharungi.

Beraksi di hadapan 13,890 penyokong, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang dengan aksi serangan balas yang rancak dipamerkan sejak minit awal perlawanan.

JDT terlebih dahulu menguji kubu lawan menerusi rembatan jarak jauh Ager Aketxe pada minit keenam, namun percubaan itu berjaya dipatahkan penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim.

Penjaga gawang skuad Penyu itu terus menjadi watak penting apabila menafikan beberapa peluang keemasan tuan rumah termasuk tandukan Bergson Da Silva dan percubaan Manuel Hidalgo dalam tempoh 15 minit pertama.

Usaha berterusan JDT akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-23 apabila rembatan Bergson terbias kaki pertahanan sebelum menerjah gawang, sekali gus meletakkan tuan rumah di hadapan.

Terengganu tidak menunggu lama untuk bangkit apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi jaringan Ehson Panjshanbe hasil gerakan menarik bersama Gervane Kastaneer.

Memasuki babak kedua, JDT terus mengasak dan hampir kembali mendahului, namun ketangkasan Rahadiazli sekali lagi menjadi penghalang termasuk menyelamatkan percubaan jarak dekat Afiq Fazail.

Pemain gantian, Syahmi Safari hampir muncul wira apabila dua percubaannya mencemaskan kubu pelawat, termasuk satu rembatan yang hanya sekadar menggegar palang pada minit ke-77.

Keputusan kekal 1-1 sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan JDT gagal mengekalkan rekod kemenangan sempurna, namun masih gah tanpa sebarang kekalahan setakat ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN