TELUK INTAN – Subsidi Rumah Mesra Rakyat (RMR) oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sebanyak RM20,000 tetap kekal walaupun kerajaan berdepan kenaikan kos bahan pembinaan termasuk diesel kerana konflik Asia Barat.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, kerajaan akan menyerap kos kenaikan pembinaan tersebut termasuk diesel sebagai langkah menyantuni rakyat untuk memiliki kediaman yang selesa.
“Kadar (subsidi) masih kekal. Peruntukan sebanyak RM500 juta tahun ini. Untuk tahun ini, kita telah pun meluluskan 16 RMR di Teluk Intan.
“Rakyat hanya bayar RM55,000 tetapi kerajaan menyerap kos RM20,000. Jika tidak mampu bayar pendahuluan, boleh ambil pinjaman dengan bayaran ansuran RM300 sebulan selama 16 tahun tanpa faedah,” katanya pada Majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri Parlimen Teluk Intan di Dewan MPTI, Jalan Speedy, Teluk Intan hari ini.
Beliau turut mengumumkan lapan projek menerusi Jelajah Sentuhan Kasih KPKT Tahun 2026 dengan peruntukan RM47.44 juta bagi projek pembangunan sekolah, kebajikan masjid dan infrastruktur di Teluk Intan.
Katanya lagi, 6,545 buah RMR baharu tetap dibina di seluruh negara dengan tempoh siap lebih cepat sebagai langkah menyerap kos. – KOSMO! ONLINE













