LONDON – Bournemouth berikrar untuk tidak memberikan laluan mudah buat Arsenal untuk terus selesa menerajui puncak saingan Liga Perdana Inggeris ketika kedua-dua pasukan bakal berentak di Emirates malam ini.
Sejak tewas 2-3 berdepan The Gunners 2-3 di gelanggang sendiri pada 4 Januari lalu, Bournemouth berada pada prestasi terbaik apabila belum tewas dalam 12 perlawanan selepas itu dengan meraih empat kemenangan dan lapan kali seri.
Justerus, skuad kendalian Andoni Iraola bukan sahaja turun untuk mempertahankan rekod tanpa kalah tersebut, tetapi mereka juga bersedia untuk melunaskan dendam kekalahan di laman sendiri sebelum ini.
Sementara itu, tonggak tengah Bournemouth, Tyler Adams bersedia untuk menjadikan Arsenal sebagai tempat melepaskan geram selepas tersisih daripada skuad kebangsaan Amerika Syarikat.
Walaupun kunjungan ke Emirates malam ini dilihat sukar, Adams merasakan dirinya kini sudah bersedia untuk menghadirkan sesuatu buat pasukan pada baki saingan musim ini.
“Saya berada di sini (bersama kelab) ketika rehat antarabangsa. Malangnya, saya tidak dapat bersama pasukan kebangsaan, namun yang bagusnya, saya boleh berada dengan kelab, jalani latihan dan kini semakin bersedia untuk hadapi cabaran.
“Ia berikan masa buat saya untuk kembali kuat, dapatkan kecergasan dan fokus kepada objektif pasukan. Kami semua berikan perhatian untuk kekal pada prestasi terbaik untuk hadapi perlawanan ini,” katanya.
Pemain berusia 27 tahun itu menjelaskan adalah penting buat kelab itu menamatkan musim ini dengan prestasi dan kedudukan terbaik. – AGENSI














