LONDON – Aspek kecergasan pemain menjadi kebimbangan utama buat Arsenal yang kini terpaksa berdepan penjadualan padat dalam misi pasukan memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Sejak kali terakhir bermain di Liga Perdana Inggeris, 15 Mac lalu, Arsenal kini sudah pun harungi empat perlawanan berintensiti tinggi membabitkan dua perlawanan Liga Juara-Juara, final Piala Liga Inggeris dan suku akhir Piala FA.
Situasinya ini nyata berbeza berbanding lawan mereka, malam ini, Bournemouth yang memiliki tempoh rehat lebih panjang apabila The Cherries memiliki tempoh persiapan hampir sebulan sejak kali terakhir bermain semasa seri 2-2 dengan Manchester United, 21 Mac lalu.
Keadaan ini mungkin memberikan kesan kepada tempoh rehat pemain Arsenal dan ia mungkin memberikan risiko besar kepada kelab yang sudah pun dihimpit masalah kecederaan pemain.
Ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Sporting Lisbon sebelum ini sudah menunjukkan pemain seperti Declan Rice mula dihimpit keletihan dan keadaan ini nyata menghadirkan kegusaran buat pengurus pasukan, Mikel Arteta.
Pemain bintang lain seperti Bukayo Saka, Martin Odegaard dan Jurrien Timber masih belum dapat dipastikan mampu diturunkan atau tidak sekali gus menuntut idea lebih segar daripada Arteta bagi mengelak tercicir mata.
Selepas harungi 31 perlawanan, Arsenal kini masih berada di puncak liga dengan 70 mata, berkelebihan sembilan mata dengan pencabar terdekat, Manchester City yang kurang satu perlawanan. – AGENSI














