KUALA LUMPUR – Seperti dijangka, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengetuai skuad badminton kebangsaan yang akan menggalas cabaran pada saingan Piala Thomas 2026 di Horsens Denmark bermula 24 April hingga 3 Mei depan.
Dalam senarai yang diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini, empat pemain perseorangan lelaki dipertaruhkan dengan Leong Jun Hao akan menggalas tugas sebagai perseorangan pertama, diikuti Justin Hoh.
Dua lagi tempat diisi pemain profesional, iaitu Aidil Sholeh Ali Sadikin serta bekas juara Asia dan All England, Lee Zii Jia yang dianggap mampu menjadi pencetus semangat dalam skuad negara.
Pada masa sama, acara beregu lelaki diketuai Aaron-Wooi Yik dan dibantu gandingan No.2 negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta bekas beregu No.1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Pasukan negara dijadualkan menjalani kem latihan pusat selama 10 hari di Herning, Denmark bermula 15 April ini sebagai persediaan terakhir sebelum kejohanan dua tahun sekali itu membuka tirai.
Kali ini, BAM meletakkan sasaran untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun selepas kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas pada edisi 1992 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Sementara itu, skuad badminton wanita negara pula diketuai naib juara dunia beregu wanita tahun lalu, Pearly Tan-M. Thinaah dibantu Carmen Ting-Ong Xin Yee serta pasangan muda, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan.
Perseorangan wanita pula menyaksikan BAM menyenaraikan K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi serta bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei. – KOSMO! ONLINE














