SUBANG JAYA – Taktik dua lelaki tempatan mengedar daun ketum tumpas apabila dicekup polis dalam satu operasi di hentian rehat Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang, sepasukan anggota MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya menahan suspek berusia 34 dan 38 tahun yang menaiki sebuah Proton Waja.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superitendan Mohd Fairus Jaafar berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan 53 plastik hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat 455,000 gram yang disorok di bahagian tempat duduk belakang.
Beliau berkata, rampasan dianggarkan bernilai RM18,500 dan dipercayai untuk pasaran pengedaran di selatan tanah air.
“Saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine. Semakan rekod lampau pula menunjukkan seorang daripadanya mempunyai dua rekod jenayah, manakala seorang lagi memiliki empat rekod.
“Kes ini menunjukkan sindiket masih aktif menggunakan laluan lebuh raya untuk pengedaran. Kita tidak akan berkompromi dan akan terus memperhebat operasi bagi memastikan keselamatan komuniti terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula semalam sehingga 13 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














