fbpx
SEORANG lelaki dikenali sebagai ‘Ucuk’ ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tulisan kalimah Allah di sebuah tokong di Jalan Jeti Pengkalan Batu – Pantai Siring, Jasin. - Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

‘Ucuk’ tulis kalimah Allah di tokong ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – Polis menahan seorang bekas pelajar tahfiz dikenali sebagai ‘Ucuk’ bagi membantu siasatan berhubung kes tulisan kalimah Allah di sebuah tokong di Jalan Jeti Pengkalan Batu – Pantai Siring, kelmarin.

Suspek berusia 39 tahun ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sebuah rumah di Kampung Serkam, Merlimau.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, hasil tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barang kes dipercayai digunakan suspek termasuk satu beg plastik merah yang mengandungi berus cat dan satu tong cat putih.

“Suspek mengaku bertanggungjawab menconteng kalimah tersebut di tokong berkenaan kira-kira tujuh hari lalu.

“Siasatan awal juga mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod lampau melibatkan kes narkotik dan jenayah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat dengan ahli keluarga mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan telah lama tidak mendapatkan rawatan.

“Abang suspek memaklumkan lelaki itu tidak mengambil ubat serta tidak mendapatkan rawatan di hospital sejak sekian lama dan kad rawatan juga dilaporkan telah hilang.

“Suspek yang yang tinggal bersama abangnya telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas proses siasatan awal selesai dijalankan, kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP),” katanya.

Mengulas lanjut mengenai binaan tokong tersebut, beliau memberitahu, ia dibina di atas tanah milik seorang lelaki dari Muar, Johor dan individu itu dijangka hadir ke IPD Jasin bagi membantu siasatan termasuk mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan tanah.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan penduduk di Pantai Siring dekat sini gempar apabila menemui kalimah Allah ditulis di dalam sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu – Pantai Siring, di sini, malam kelmarin.

Kejadian itu disedari sekumpulan pemancing yang kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN