KUALA SELANGOR – Penempatan setinggan haram warga Indonesia di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran dua buah sekolah di Puncak Alam di sini dirobohkan dalam operasi bersepadu kelmarin.
Operasi yang berlangsung kira-kira tiga jam bermula pukul 9 pagi itu diketuai Unit Penguatkuasaan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor (PDT Kuala Selangor).
PDT Kuala Selangor berkata, tindakan tersebut diambil susulan kesalahan menduduki tanah kerajaan secara tidak sah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN).
“Dalam operasi itu, sebanyak 15 kediaman dan empat stor tidak kekal yang dibina di atas teres ladang kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 serta Sekolah Rendah Agama (SRA) Puncak Alam 2 telah dirobohkan.
“Operasi dijalankan dengan lancar tanpa sebarang kacau ganggu daripada mana-mana pihak,” katanya di sini.
Menurutnya, operasi itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak pengurusan kedua-dua sekolah terbabit.
Katanya, tindakan tegas akan terus dilaksanakan bagi mengekang kegiatan pendudukan haram di atas tanah kerajaan.
“PDT Kuala Selangor akan menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kawasan terbabit tidak lagi diduduki secara tidak sah serta menjamin pembangunan yang lebih teratur di daerah ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














