PETALING JAYA – “Nak hadap orang pun saya malu.”
Demikian pengakuan pelakon Azar Azmi mengenai dirinya yang ketika ini bergelut membina semula kehidupannya selepas berdepan kes mahkamah atas dakwaan penipuan tahun lalu.
Menurut Azar atau nama penuhnya, Siti Azar Ameerah Azmi, 35, dakwaan melakukan penipuan sejumlah wang dengan amaun yang besar mengubah kehidupannya menjadi sangat sukar.
Dia bagaimanapun menegaskan segala dakwaan tersebut tidak selari dengan kehidupannya sebelum ini termasuk perlu berniaga cempedak goreng.
“Saya tidak semewah apa yang tulis dalam tajuk berita tetapi orang tak percaya.
“Saya pernah meniaga durian, cempedak goreng. Kalau nak katakan memang benar cerita viral itu kemudian pihak berkuasa ambil saya, kalau betul saya guna duit itu, saya puas hati.
“Masalahnya kehidupan yang saya hadap dengan jumlah duit yang dalam tajuk berita itu tidak selari. Nak makan pun seadanya saja,” dedahnya.
Mengulas sama ada dirinya rasa teraniaya dengan pasangan sendiri, dia memberitahu fokus utama hanyalah untuk membesarkan anak-anak.
“Bila berkeluarga, pastilah kita nak ada pasangan yang boleh berpaut bersama.
“Tapi bila benda sudah jadi macam ini, entahlah. Saya rasa sudah tak boleh nak fikir fasal orang lain sebab perlu besarkan anak-anak,” katanya lagi.
Dalam temu bual sama, dia memberitahu tindakannya menyepikan diri dari dunia seni merupakan permintaan keluarga mentuanya.
“Saya tak ada keluar kenyataan yang mengatakan nak pencen berlakon.
“Sebenarnya menghormati keputusan keluarga mentua,” katanya dalam satu temu bual.
Azar juga terharu melihat masih wujud segelintir pihak yang masih menitikan katakata positif dan semangat buat dirinya ketika ini.
“Ada yang masih positif walaupun mereka tak kenal saya. Inilah orang-orang baik yang tetap bagi semangat dan mendoakan terbaik untuk saya supaya terus kuat menjalani kehidupan.
“Nak meniti balik dalam keadaan orang kata merangkak dan ketika kehidupan yang sudah tak ada apa-apa. Walau apa pun terjadi, saya perlu lakukan sesuatu,” jelasnya.
Sebelum ini, Azar bersama suami, Mohd. Apri Hazreen ditahan atas pertuduhan menipu dua mangsa atas urusan mendapatkan darjah kebesaran ‘Datuk’ dan tanah kurniaan melibatkan kerugian keseluruhan RM293,931 pada tahun lalu.
Azar kemudiannya dibebaskan pihak polis dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan kedua-dua kes. – KOSMO! ONLINE














