MARANG – Bekas pemberita sambilan Kosmo!, Mohd. Lazim Endut, 62, meninggal dunia selepas rebah dan tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Gong Beris, di sini hari ini.
Allahyarham yang mempunyai sejarah penyakit tekanan darah tinggi ditemukan terbaring di belakang rumah oleh isterinya, Azimah Ismail, 56, pada pukul 1 tengah hari.
Azimah berkata, sebelum kejadian, suaminya sedang mengemas di belakang rumah sementara menunggu solat Jumaat.
“Saya terkejut nampak tubuhnya (Mohd. Lazim) terbaring di luar rumah dan tidak memberikan respons ketika diangkat. Pegawai perubatan dan pihak polis kemudian mengesahkan suami saya telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jenazah Mohd. Lazim dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Beris di sini.
Sebelum berkhidmat sebagai pemberita sambilan Kosmo! dan Utusan Malaysia dari 2010 hingga 2019, Mohd. Lazim merupakan wartawan hiburan Utusan Malaysia dan pernah menerajui Sinar Harian Terengganu.
Allahyarham yang aktif dalam Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) juga pernah menghasilkan skrip filem Debu-Debu Kasih lakonan Sham Visa dan Aida Aris yang diterbitkan pada 1995 dan menulis lirik lagu beberapa kumpulan popular 1990-an seperti ‘Nafas Orang Kota’ nyanyian Ukays. – KOSMO! ONLINE














