KOTA BHARU – Kuala Lumpur City melonjak ke tangga ketiga Liga Super selepas berjaya meraih kemenangan 2-0 ke atas Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, sebentar tadi.
Tiga mata kali ini mengekalkan harapan The City Boys untuk cuba menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga kedua yang ketika ini dicabar hebat oleh Selangor FC dan Kuching City.
Terdahulu, aksi di babak pertama nyata menjadi milik pasukan pelawat yang dihidangkan deretan peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan.
Selepas mempersiakan beberapa peluang terbaik, jaringan yang diidamkan KL City hanya hadir pada minit ke-20 menerusi penyudah sempurna penyerang kebangsaan, Safawi Rasid.
KTRW FC yang lebih banyak bertahan seakan ketandusan idea dimana setiap serangan diatur lebih banyak tertumpu kepada hantaran tinggi kepada Enzo Celestine.
Skrip hampir sama terus dihidangkan pada separuh masa kedua dimana KL City hanya memerlukan sembilan minit untuk menambah jaringan kedua menerusi tandukan Kpah Sherman.
Minit ke-60, KTRW FC memperoleh peluang keemasan namun rembatan Celestine berjaya dibaca dengan baik oleh penjaga gol pelawat, Quincy Julian Kammeraad.
Tujuh minit selepas itu, kualiti hantaran dimiliki Victor Ruiz berjaya menemui Sherman untuk merobek gawang KTRW FC buat kali ketiga namun jaringan itu dibatalkan kerana kesalahan offsaid.
KL City terus dihidangkan beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan namun kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE














