PETALING JAYA – Tindakan berbahaya seorang lelaki memandu secara melawan arus dipercayai dalam keadaan mabuk di Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) di sini mengundang padah apabila ditahan polis awal pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek diberkas pada pukul 2.10 pagi di Kilometer 0.7, Lebuh Raya SPRINT.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 1 pagi apabila suspek dikesan memandu secara melawan arus di lokasi berkenaan,” katanya.
Siasatan lanjut mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian dan dipercayai turut melarikan sebuah kenderaan e-hailing selepas berlaku salah faham dengan pemandu terbabit.
Lelaki tempatan itu direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) dan Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sivam Muniandy di talian 017-3290749 atau Ibi Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerusi 03-79662222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang pemandu e-hailing berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa penipuan dan kenderaannya dilarikan selepas mengambil penumpang yang dipercayai mabuk.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads yang mendakwa insiden berlaku di Petaling Jaya. – KOSMO! ONLINE














