PETALING JAYA – “BFF (sahabat baik selamanya) saya, Kerol. Dia antara orang yang menyokong dan percayakan saya ketika saya bermula sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Duyong.”
Itu pengakuan ADUN Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem mengenai seorang lelaki ‘istimewa’ yang dikenalinya sudah lama, semalam.
Beliau memaklumkan, jasa baik Kerol tidak mungkin akan dilupakan dan berazam untuk membantunya meneruskan kehidupan.
Ia susulan kematian bapa Kerol, semalam, menyebabkan lelaki itu memaklumkan perlu bekerja selepas ini bagi kesinambungan rezeki.
“44 hari lepas mak Kerol meninggal dunia, hari ni (semalam) ayah Kerol pula.
“Kerol tak perlu kerja. Adik-beradik Kerol akan jaga Kerol baik-baik. Insya-Allah, saya akan bantu sebaik mungkin,” katanya menerusi media sosial.
Perkongsian Noor Helmy itu meraih perhatian orang ramai yang menyokong tindakannya selain memberi sokongan kepada Kerol.
“Alhamdulillah, YB (Yang Berhormat) hebat, penyokong pun hebat. Semangat tu penting, saling menguatkan,” ujar seorang pengguna.
“Takziah Kerol dan keluarga, terima kasih YB Noor Helmi,” komen pengguna lain. – KOSMO! ONLINE














