fbpx
Dzulkefly menerima buku Malaysia Pediatric Aural Habilitation Module (MyPAHM) pada Majlis Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

Harga ubat meningkat sehingga 40 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Harga ubat-ubatan di negara ini dilaporkan meningkat antara 30 hingga 40 peratus berikutan kenaikan kos logistik, pengangkutan dan bahan api.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan tersebut turut memberi kesan kepada kos peranti perubatan yang mencatatkan kenaikan lebih tinggi sebelum itu.

“Pastinya harga ubat sudah pun mula meningkat kerana perkara ini berkait dengan logistik, pengangkutan dan minyak. Kita dapati kos kenaikan harga ubat-ubatan telah pun berlaku lebih kurang 30 hingga 40 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, harga peranti perubatan pula dikesan meningkat lebih ketara susulan gangguan penghantaran konsainan pada peringkat awal.

“Peranti perubatan mungkin lebih tinggi kerana pada awalnya terdapat penangguhan penghantaran. Peranti itu sebelum Mac lagi, mereka telah buat satu ‘put on hold’, jadi itu yang menyebabkan kenaikan harga lebih awal, dengan peningkatan antara 50 hingga 100 peratus,” ujarnya.

Ditanya mengenai langkah kerajaan dalam menangani situasi tersebut, beliau berkata, beberapa mekanisme sedang dipertimbangkan termasuk surcaj dan kaedah pemindahan kos (cost passthrough).

Katanya, perkara itu akan diteliti secara menyeluruh oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, selain dibincangkan di peringkat Kabinet.

“Kita sentiasa melihat perkara-perkara ini dan akan perincikan bagaimana kita tangani dan ambil langkah mitigasi untuk jangka pendek, pertengahan dan panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly memberi jaminan bahawa tahap perkhidmatan kesihatan negara kekal mampan dan tidak terjejas setakat ini.

“Ketua Pengarah sentiasa memberikan saya kemas kini, saya juga memerhatikan semua ini, setakat inibelum ada yang terkesan. Keadaan masih terkawal dan stabil, namun kita akan terus mengambil langkah lebih ketat bagi memastikan tiada gangguan bekalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN