fbpx
KOLAM takungan banjir yang menjadi lokasi kanak-kanak autistik ditemukan lemas pada petang tadi.

Budak autistik hilang selepas pintu pagar terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Kanak-kanak perempuan autistik dikatakan keluar dari rumah menerusi pintu pagar yang tidak berkunci sebelum ditemukan lemas di kolam takungan banjir di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Nagasari, Kepala Batas di sini petang ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, kehilangan Mya Khadeeja Suraidi, 6, disedari kakak sulung mangsa berusia 20 tahun yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada bapanya.

“Pengadu iaitu bapa mangsa dimaklumkan bahawa anak perempuannya itu tiada di rumah dipercayai telah keluar kerana pintu pagar rumah disyaki telah dibuka oleh anak lelakinya berusia sembilan tahun yang juga autistik.

“⁠Sepasukan polis telah diarahkan ke kawasan Taman Nagasari untuk membantu mencari kanak-kanak terbabit terutama di kawasan tumpuan dan berisiko seperti kolam takungan banjir dan longkang besar,” katanya di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa berjaya ditemukan pada pukul 4.10 petang tadi di dalam kolam takungan banjir bersebelahan Surau Taman PPR Nagasari.

“⁠Hasil siasatan pasukan forensik mendapati tiada kesan kecederaan akibat perbuatan manusia pada mayat mangsa. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang kanak-kanak perempuan autistik yang dilaporkan hilang sejak pukul 8 pagi tadi ditemukan terapung di kolam takungan di PPR Taman Nagasari, petang ini.

Mayat mangsa, Mya Khadeeja Suraidi, 6, dibawa keluar dari kolam oleh anggota bomba kira-kira pukul 4.50 petang tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN