NILAI – Aura kehadiran jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mula terasa menjelang Pusingan Akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional Nilai pada 24 April ini, namun legenda itu memilih untuk kekal berpijak di bumi nyata.
Meskipun beraksi di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong tempatan, Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman enggan terlalu awal memasang impian besar, apatah lagi menjanjikan pingat emas.
Pendekatan berhati-hati itu hadir bukan tanpa sebab apabila pelumba berusia 38 tahun itu mengakui dirinya masih dalam fasa persiapan dan belum mencapai tahap prestasi terbaik.
Sebaliknya, beliau melihat saingan di Nilai sebagai platform penting untuk menguji kemampuan sebenar sebelum menghadapi cabaran lebih besar seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini.
“Saya berharap untuk yang pertama mara ke final dahulu dan kemudian berharapn dapat berdiri di atas podium.
“Nak cakap mahu menang itu mungkin terlalu meletakkan harapan tinggi dan saya masih belum melalui fasa pengurangan beban latihan serta belum berada pada tahap prestasi terbaik,” kata Azizulhasni selepas sesi lawatan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari hari ini.

Meskipun belum berada di kemuncak prestasi, Azizulhasni tetap mencuri tumpuan dunia apabila menghadiahkan emas dalam acara keirin pada siri pertama Piala Dunia Trek di Perth bulan lalu.
Kemenangan dramatik itu menyaksikan beliau menewaskan pelumba No.1 dunia, Matthew Richardson menerusi penamat photo finish, sekali gus membuktikan sentuhan berbisa masih kekal dalam dirinya.
Lebih menarik, kejayaan tersebut turut membuka mata bahawa Azizulhasni masih mampu mencabar dominasi pelumba elit dunia meskipun tidak berada pada tahap terbaik.
“Saya masih belum berada pada tahap prestasi terbaik. Ia membuka mata bukan saya sahaja, tetapi seluruh dunia tidak semestinya saya perlu berada pada prestasi terbaik untuk menang, walaupun pada tahap sederhana saya masih mampu menewaskan pelumba hebat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Taufiq memaklumkan program Road to Gold (RTG) akan melalui penilaian semula bulan depan bagi memastikan hala tuju sukan negara kekal berada di landasan tepat.
“RTG kita akan bermesyuarat pada bulan lima ini untuk kita melihat, menilai dan meneliti strategi serta hala tuju sukan negara seterusnya,” kata Taufiq. – KOSMO! ONLINE














