SEBERANG PERAI – Seramai 11 warga Indonesia direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung lima kes samun bersenjatakan parang di tapak penginapan warga asing sekitar Pulau Pinang.
Perintah reman terhadap sembilan lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan sehingga 16 April ini.
Terdahulu, kesemua suspek yang memakai pakaian lokap berwarna oren dibawa ke Mahkamah Majistret Jawi dengan diiringi polis pada pukul 8.50 pagi.
Difahamkan, tiga suspek ditahan di Sungai Bakap, tiga lagi di Simpang Ampat, manakala selebihnya diberkas di Ipoh, Perak pada jam 12.40 pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi semalam, enam lelaki bertopeng bersenjatakan pisau dan parang dipercayai mengugut pekerja di tapak penginapan berkenaan sebelum mengikat tangan dan kaki mangsa menggunakan pengikat kabel.
Suspek kemudian melarikan pelbagai barangan berharga termasuk 13 telefon bimbit, tiga rantai serta sepasang subang emas dianggarkan bernilai RM35,000, selain wang tunai berjumlah RM7,190. -KOSMO! ONLINE














