fbpx
Tangkap layar aksi suspek yang mengamuk mengejar seorang anggota polis di Telok Mengkuang, Kuala Langat. (Gambar kecil: Suspek berjaya ditangkap di kaki lima sebuah restoran)

[VIDEO] Lelaki amuk kejar polis dengan pisau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT -Tular beberapa video memaparkan seorang lelaki mengamuk sambil membawa pisau pemotong daging di sebuah restoran makanan laut di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu memaparkan suspek bertindak agresif sambil memegang pisau tersebut dan berlari mengejar seorang anggota polis yang berada di lokasi kejadian.

Suspek turut memecahkan lampu beacon pada kenderaan peronda polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, setibanya di lokasi, pihak polis mendapati seorang lelaki tempatan bertindak agresif dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan sebatang rotan.

Katanya, suspek turut memecahkan pelbagai barangan di restoran makanan laut tersebut selain merosakkan tiga kenderaan milik orang awam yang berada di sekitar kawasan berkenaan.

“Selain itu, suspek turut bertindak ganas dengan melibaskan senjata ke arah anggota polis serta kenderaan peronda, sekali gus mengancam keselamatan pihak berkuasa dan orang awam.

“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas polis kemudiannya berjaya menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 353 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah kuala langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN