PETALING JAYA – Tujuh tahun dalam penantian zuriat, pelakon Datin Nelydia Senrose mengakui hatinya pernah terguris tatkala kerap berdepan persoalan tentang anak.
Nelydia atau nama lengkapnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 32, bagaimanapun memujuk hati agar reda dan berlapang dada dengan kelaziman sebegitu kerana percaya rezeki Allah akan datang tepat pada masanya.
“Bila berhadapan dengan soalan seperti itu, saya cuba berfikiran positif. Mungkin mereka tak tahu apa yang kita alami atau mereka tiada niat pun untuk bertanya begitu. Saya cuba bersangka baik walaupun kadang-kadang mengguris hati saya.
“Saya anggap ini adalah sebahagian daripada perjalanan hidup saya sepanjang tujuh tahun sebelum saya disahkan hamil anak sulung,” katanya ketika ditemui di pelancaran restoran Seminyak, di pusat beli belah KLGCC, hari ini.
Bercerita lebih lanjut tentang perasaannya selepas disahkan hamil, kata Nelydia dia tidak menyangka rezeki untuknya dan suami menimang cahaya mata hadir selepas tujuh tahun mencuba.
“Ini adalah rezeki yang sangat tidak disangka. Sebak pula bila bercerita tentang perkara ini. Semua tahu tujuh tahun saya menantikan saat ini.
“Saya sangat gembira dan bersyukur dengan rezeki ini. Menjadi ibu adalah anugerah Allah untuk setiap wanita.
“Sebelum ini saya dan suami selalu anggap anak Uqasha iaitu Hawra Uqaira sebagai anak pertama kami. Uqaira pula anak saudara perempuan pertama dalam keluarga kami. Saya sangat sayangkan anak-anak saudara saya.
“Saya sangat rapat dengan Uqaira. Saya sayang dia seperti anak saya sendiri. Alhamdulillah sekarang saya sendiri dapat merasai pengalaman menjadi seorang ibu,” ujarnya.
Ditanya tentang usia kehamilannya, pelakon drama Setia Hujung Nyawa itu memilih enggan memberikan perincian namun dalam masa sama sekadar berkongsi informasi bahawa dia kini sudah memasuki separuh perjalanan kehamilan. – KOSMO ONLINE














