KUALA LUMPUR – Saksi kedua pendakwaan kes memberitahu dia melihat Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said, 22, ditemukan dalam keadaan terbaring ketika masih memegang senjata jenis HK MP5 dalam kejadian tragis serangan di Balai Polis Ulu Tiram di Johor dua tahun lalu.
Ketua Balai Polis Ulu Tiram, Inspektor Mohd Hisham Ezahar, 38, berkata, ketika itu, dia melihat mangsa mengalami pendarahan di kepala berdekatan kereta perisai berhadapan bangunan kaunter pertanyaan di balai polis itu.
“Saya lihat mangsa sudah meninggal dunia semasa dipanggil membuat pengecaman kira-kira pukul 5.30 pagi, semasa kejadian 17 Mei 2024 lalu. Sementara itu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar pula ditemukan di tepi longkang antara bangunan kaunter pertanyaan dan berek polis. Saya lihat mukanya ada kesan koyakan seperti ditetak parang dan sudah meninggal dunia.
“Saya turut melihat mayat suspek (Radin Luqman) terbaring di sebelah jasad Muhammad Syafiq semasa proses pengecaman berkenaan,” katanya dalam pemeriksaan utama memberi keterangan semasa hari kedua perbicaraan di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Dia kemudian memberi maklumat berkaitan mangsa kepada pasukan forensik bagi membantu siasatan lanjut dan berada di balai berkenaan sehingga pukul 6 petang hari kejadian.
Terdahulu saksi itu memaklumkan, pada pukul 2.30 pagi, beliau telah menerima panggilan daripada Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh yang dalam keadaan cemas dan termengah-mengah memaklumkan seorang lelaki bertopeng memasuki kawasan balai dengan membawa parang.
“Saya kemudian mengarahkan anggota bertugas menghubungi pasukan rondaan cegah jenayah (RCJ) dan turut mengeluarkan arahan dalam kumpulan WhatsApp balai supaya semua anggota kembali ke balai,” katanya.
Semalam saksi pendakwaan pertama memberitahu dia sendiri melihat dua rakan sekerjanya meninggal dunia yang mana masing-masing ditetak dan ditembak di kepala.
Koperal Mohd. Khairul Azhar Abbi Paisa, 25, berkata, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar cedera ditetak pada wajah, mulut serta telinga manakala Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said ditembak di bahagian kepala.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor bersambung lagi petang ini. – KOSMO! ONLINE














