fbpx
Fadillah beramah mesra bersama sebahagian delegasi yang hadir pada Sidang Kemuncak Tenaga, Air dan Perubahan Iklim Malaysia 2026 di WTCKL, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Permintaan elektrik melonjak, Malaysia perlu tindakan segera – Fadillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lonjakan mendadak permintaan elektrik negara kini menjadi cabaran utama yang memaksa Malaysia beralih daripada sekadar merancang kepada bertindak dalam agenda peralihan tenaga.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peningkatan permintaan yang dipacu digitalisasi, pembangunan pusat data dan pertumbuhan industri memberi tekanan besar kepada sistem grid sedia ada yang tidak direka untuk menampung kadar tersebut.

“Permintaan elektrik meningkat dengan pantas, tetapi sistem grid kita tidak dibina untuk menampung kepesatan ini. Ini realiti yang perlu kita tangani segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Tenaga, Air dan Perubahan Iklim Malaysia 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Menurut beliau, situasi itu menuntut tindakan segera kerana Malaysia kini berada di tahap kritikal dalam memastikan peralihan tenaga dilaksanakan secara menyeluruh.

“Dasar boleh membentuk niat, tetapi pelaksanaan yang menentukan masa depan. Kita tidak lagi dinilai berdasarkan apa yang dijanjikan, tetapi apa yang kita laksanakan,” ujarnya.

Fadillah berkata, walaupun Malaysia telah menetapkan sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan 70 peratus tenaga boleh diperbaharui, kekangan utama kini terletak pada keupayaan sistem penghantaran tenaga.

“Tenaga boleh diperbaharui bukan lagi kekangan utama, sebaliknya keupayaan grid. Tanpa pengembangan grid, semua aspirasi ini akan tersekat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tiga keutamaan mendesak iaitu memperkukuh infrastruktur grid, melaksanakan reformasi tarif dan mempercepat penglibatan sektor swasta.

“Subsidi mungkin membantu dalam jangka pendek, tetapi ia membebankan masa depan. Kita perlukan sistem yang mencerminkan kos sebenar supaya pelaburan dapat bergerak,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa ketegangan geopolitik global turut menambah tekanan terhadap sektor tenaga, sekali gus menjadikan keselamatan tenaga sebagai isu yang bersifat mendesak.

“Peralihan tenaga bukan sekadar agenda iklim, tetapi keperluan strategik. Setiap tenaga yang kita jana dalam negara mengurangkan kebergantungan dan meningkatkan kedaulatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN