fbpx
SEBAHAGIAN pengusaha bot nelayan laut dalam C2 berhimpun di luar Kompleks LKIM, Kuantan bagi merayu kerajaan berikutan kenaikan mendadak harga diesel sehingga menjejaskan operasi mereka.

Pengusaha bot nelayan laut dalam bakal gulung tikar akibat harga diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Pengusaha bot nelayan laut dalam C2 bakal gulung tikar kerana tidak dapat meneruskan operasi susulan kenaikan harga diesel yang tinggi.

Kos bahan api itu yang terlalu tinggi sehingga mencecah RM7.42 per liter ketika in memberi tekanan kepada lebih 200 pengusaha bot laut dalam C2 di seluruh Pantai Timur membabitkan kira-kira 450 bot.

Wakil pengusaha bot nelayan laut dalam C2, Zahir Yaakob berkata, keadaan itu menyebabkan mereka berdepan tekanan besar kerana tidak menikmati subsidi diesel seperti sebahagian pengusaha bot lain yang mendapat harga subsidi sekitar RM1.60 seliter.
“Pada kebiasaannya bot C2 berada di laut selama 14 hingga 15 hari dan memerlukan kira-kira 15,000 liter diesel.

“Dengan harga diesel industri RM7.40 seliter, kos minyak sahaja boleh mencecah sekitar RM105,000 bagi satu perjalanan,” katanya pada sidang akhbar di luar perkarangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi satu perjalanan ke laut selama lima hari sahaja, bot kategori C2 perlu menggunakan kira-kira 5,000 liter diesel.

Jelasnya, keadaan itu memberi kesan besar kepada kelangsungan operasi pengusaha bot C2 kerana harga ikan yang didaratkan adalah sama dengan harga ikan yang dijual oleh nelayan yang menerima subsidi diesel.

“Bot C2 menyumbang jumlah pendaratan ikan yang besar iaitu 168 tan setiap tahun. Jika kami tidak dapat meneruskan operasi, bekalan ikan di pasaran boleh terjejas dan memberi kesan kepada harga ikan.

“Bermakna masalah ini bukan sahaja memberi kesan kepada pengusaha, malah kepada rakyat kerana ikan merupakan antara sumber protein utama,” katanya.

Tambah beliau, sebelum tahun 2019 pengusaha bot C2 pernah menerima insentif daripada kerajaan, namun bantuan tersebut dihentikan selepas itu.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula bantuan atau insentif tertentu bagi memastikan pengusaha bot laut dalam dapat terus beroperasi.

“Kami faham kerajaan juga berdepan cabaran global kerana harga minyak bukan ditentukan oleh Perdana Menteri, tetapi kami berharap ada sedikit bantuan atau insentif supaya kami masih mampu meneruskan operasi dan membekalkan sumber protein kepada rakyat,” katanya.

Seorang lagi pengusaha bot C2, Tengku Adnan Tengku Husin berkata, tekanan kos operasi bukan sahaja melibatkan harga diesel, malah turut melibatkan pelbagai kos lain yang semakin meningkat.

Dia memberitahu antara kos yang perlu ditanggung termasuk bayaran kemasukan pekerja asing, makanan, air batu, tali unjam serta peralatan menangkap ikan.

“Bot C2 juga perlu beroperasi jauh dari pantai dengan perjalanan yang boleh mencecah sehingga 150 batu nautika sebelum memulakan aktiviti menangkap ikan.

“Kami bukan minta banyak, kalau boleh harga sekitar RM2.50 seliter pun sudah memadai untuk kami teruskan kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN