KOTA BHARU – Pemilik akaun bank yang menerima kemasukan wang rasuah sebanyak RM12,000 sebagai balasan agar empat anggota polis tidak mengambil tindakan terhadap seorang pemandu kereta yang membawa daun ketum pada Disember tahun lalu direman lima hari bagi membantu siasatan kes tersebut.
Perintah reman terhadap lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang bermula hari ini sehingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid.
Penahanan itu menjadikan seramai lima orang individu ditahan termasuk empat anggota polis yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes tersebut.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lelaki itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam di rumahnya.
“Siasatan awal mendapati, individu berkenaan disyaki bersubahat bersama empat anggota polis yang telah ditahan reman selama lima hari bermula Selasa lalu.
“Lelaki itu dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, empat anggota polis berusia dalam lingkungan 22 hingga 42 tahun direman lima hari bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah sebanyak RM12,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang pemandu kereta yang membawa daun ketum pada Disember tahun lalu.
Menurut sumber, keempat-empat anggota polis yang bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di Kelantan itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari di pejabat masing-masing semalam.
Sumber itu berkata, mereka ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang didapati membawa daun ketum di dalam keretanya.
“Kesemua anggota polis itu dipercayai menerima rasuah tersebut melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik pihak ketiga.
“Siasatan awal mendapati, mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada Disember 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE














