fbpx
Anggota polis membawa Siti Munirah untuk didakwa di Mahkamah Majistret Bachok hari ini. Foto oleh TOREK SULONG / KOSMO!

Pembantu kantin simpan 100 video, bahan lucah dalam telefon didenda RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Seorang pembantu kantin dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan kira-kira 100 bahan pornografi termasuk video lucah di dalam telefon bimbitnya pada minggu lalu.

Tertuduh, Siti Munirah Muhamad, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki sebuah telefon bimbit jenis Realme 9 yang mengandungi beberapa rakaman video lucah di sebuah rumah di Kampung Kubang Telaga dekat sini kira-kira pukul 8 malam pada 6 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala tertuduh diwakili peguam, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norizaidah Abdul Salam.

Terdahulu, Norizaidah dalam rayuannya memohon hukuman denda kerana tertuduh merupakan seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kantin dengan pendapatan RM35 sehari.

“Tertuduh mempunyai seorang anak perempuan berusia 15 tahun. Tertuduh juga sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu untuk memberi teladan baik kepada anaknya,” katanya.

Muhammad Aiman Syahmi memohon hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Mengikut fakta kes, bertindak atas hasil maklumat Op Cyber Guardian, sepasukan anggota polis Cawangan D11 (Seksual/Cyber) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama beberapa unit lain telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Kubang Telaga di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN